Jumaat, 28 Februari 2014

INDEKS PENCAPAIAN UTAMA


KPI (INDEKS PENCAPAIAN UTAMA)
MELALUI (NKRA) NATIONAL KEY RESULTS AREA


Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah , dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar Bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
1. Menteri-menteri yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA
· Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai ‘lead minister’ atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:

I. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - Meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
II. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Mengurangkan kadar jenayah.
III. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz - Memerangi rasuah.
IV. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil – Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.
V. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal - Memperkasa prasarana luar Bandar dan pedalaman.
VI. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat - Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

2. Pelaksanaan NKRA
· Perdana Menteri bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut.
· KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.
· Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap ‘lead minister’ ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan.Maknanya dalam setiap enam minggu,PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
· Bukan itu sahaja,anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggugjawabka untuk mencapai KPI kementerian masing-masing,yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
· Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini,3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri.Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka,memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.Sesungguhnya,kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI.Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.

3. Latar belakang revolusi pengurusan
Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
· Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri,PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan Negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.
· Pada 28hb April,PM telah menutarakan Key Perfomance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama rinkasnya KPI,yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam.KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif.KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah,mekanisme ini juga diterima pakai dengan jaya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain,Australia dan Kanada.
· Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakana jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian.Hatta,kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sector awam mahupun politik adalah pencapaian.Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
· Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini,PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area,singkatannya NKRA.Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

4. Tujuan pelaksanaan NKRA
· Tujuan PM memperkenalka NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertnggugjawaban yang serius,wujud dikalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.
· Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar,akan apakah inisiatif,rencana dan hala tuju pembangunan yng sedang digembleng oleh Kerajaan.
· PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
· PM turut meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut.Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur.Dengan adanya KPI ini,maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yng di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

5. Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional ( NKRA )

i. Mengurangkan Kadar Jenayah
· Kerajaan memandang serius isu pencegah jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri.Untuk itu,kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu :

a) Jenayah jalanan
ü Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat.
ü Contoh : curi ragut,samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api.
b) Keselamatan awam
ü Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasuka -pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur.Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.
ü Balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah.
ü Langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
c) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
ü Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula,Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

ii. Memerangi rasuah
· Untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
· Kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu.
· Dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

iii. Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
· Dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
· Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
· Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
· Selain itu, sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.

iv. Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah
· PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.
· Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010 semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
· Kerajaan juga berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

v. Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
· Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500 km atau 2 kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat 2012.
· Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada 3 kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
· Di Semenanjung Malaysia pula, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh, 5 km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan Melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
· Liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini, sejumlah RM2 bilion diperuntukan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
· Kerajaan juga bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.
· Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.
vi. Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa tertentu
· Kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat.
· PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.